IHSAN
DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Prof Dr
Sidek Baba
Ihsan adalah sumber kekuatan bagi orang yang beriman dan
yakin terhadap Penciptanya. Ihsan menjadikan muslim orang yang sentiasa amanah,
telus dan tulus, jujur dan adil terhadap amal perbuatannya kerana prinsip murni
itu menjadikan kerjayanya lebih sempurna dan cemerlang.
Pendidik (murabbi) sentiasa menghubungkan kerjanya untuk
mendapat keredaan Allah. Hasilnya ia menjadi cemerlang dan merasakan kerja
mendidik manusia adalah amanah yang perlu disempurnakan dengan ikhlas dan
jujur. Sifat ihsan mendorong pendidik mendekati anak muridnya seumpama
mendekati anaknya sendiri. Daripadanya lahir perhatian yang tinggi supaya anak
muridnya cemerlang dan tidak cicir.
Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, pendidik akan
menghubungkan setiap subjek yang diajarnya dengan nilai murni daripada Allah. Dalam
pengajaran bahasa misalnya, ilmu yang terkandung di dalamnya menjadi
penyuluh dan memberi cahaya kepada muridnya mengenali Allah kerana bercakap
benar, melaksanakan amanah, berlaku adil, bersikap tulus dan telus adalah
olahan dalam penguasaan bahasa. Oleh itu, pengajaran bahasa bukan sahaja
memberikan asas komunikasi sesama manusia tetapi juga asas komunikasi manusia
dengan Allah.
Begitu juga dengan pengajaran matematik. Ia tidak
sekadar memberikan kemahiran bagaimana angka dimanipulasi tetapi juga memberikan
asas falsafah mengenai maksud ketepatan, kesempurnaan, keseimbangan dan
akauntabiliti yang amat dituntut dalam kehidupan manusia. Bayangkan Allah
menjadikan alam ini dalam kadarnya. Konsep kadar ini adalah matematikal
sifatnya.
(وخلق كلّ شيء فقّدره
تقديرا)
(انّا كلّ شيء خلقناه
بقدر)
Alam ini dijadikan secara matematikal dan asas itu
menjadikan alam ditadbir oleh Penciptanya dengan teratur.
Mendidik anak-anak dengan subjek geografi juga tidak
seharusnya hanya mengajar mereka mengenai alam nyata secara tofografik dan
fizikal. Ilmuan Islam tersohor, Muhammad al-Idrisi, menyatakan maksud geografi
atau ilmu alam dengan mendidik manusia mengenai alam ghaib dan alam nyata.
Alam ghaib termasuk Allah adalah pencipta alam nyata. Oleh itu, mempelajari
alam nyata dengan melupakan alam ghaib hanya mengkaji sebahagian dari alam. Memahami
kewujudan alam ghaib dalam memahami alam nyata menyebabkan rasa keihsanan
menjadi subur dan menyebabkan manusia merasai dekat dengan Penciptanya.
Begitu juga dengan pelajaran sains, pelajar bukan
saja diajar mengenai kaedah ‘apa’ dalam mengkaji benda dan fenomena tetapi
harus dilanjutkan untuk bertanya ‘mengapa’ kerana ia membolehkan mereka
mengetahui hikmah sesuatu kejadian. Daripadanya ia membawa manusia dekat
dengan Allah. Faktor air tidak saja dikaji dalam konteks hidrogen dan
oksigennya, tetapi juga hikmah kejadian air boleh membawa pelajar memahami
bahawa tanpa air kehidupan tidak akan ada; tanpa air manuisa, pokok dan haiwan
tidak akan membiak. Dengan itu, pelajar akan bertanya, siapakah Pencipta sumber
yang amat berharga ini.
Begitu juga dengan pengajaran sejarah, fokus tidak
seharusnya kepada tarikh, peristiwa dan tokoh saja, tetapi pengajaran
sejarah memerlukan falsafah mengenai ibrah dan sirah supaya sejarah menjadi
cerminan bagi pelajar mengulangi jejak serta mengambil contoh dan teladan. Sejarah manusia terdahulu
yang dirakam melalui kisah daam Kitab Suci adalah pancaran ibrah tentang
pentingnya manusia belajar daripada kejayaan dan kelemahan manusia lain kerana
ia boleh berulang kembali pada hari ini.
Nilai ihsan dalam pengajaran dan pembelajaran amatpenting
bagi guru dan dirasai oleh murid. Kita tidak mahu ilmu yang intergretif diajar kepada
murid yang menyebabkan kefahaman mengenai pencipta hanya berlaku secara
rohaniah dalam pengajaran agama tetapi tidak wujud dalam subjek lain yang
menjadi sumber penting dalam membentuk cara berfikir dan kehidupan.
Kualiti ihsan yang dimiliki pendidik akan mendorongnya
membentuk akal budi anak muridnya. Ketika itu, pendidik bukan saja ingin
melihat anak didiknya cemerlang dalam akademik tetapi juga cemerlang dalam akhlaknya.
Melihat kegagalan dan keciciran anak muridnya, pendidik akan terpanggil untuk membantu dan melakukan sesuatu yang
terbaik supaya anak didiknya menjadi manusia yang berguna pada masa depan.
Apalagi dengan ilmu integratif, perasaan dekat dengan Pencipta
didalam diri anak muridnya adalah tinggi . Dengan itu, akal budi muridnya
terbentuk dengan keupayaan berfikir yang
baik dan pekerti yang terpuji. Inilah maksud
pendidikan yang sebenar dalam tradisi Islam yang dirujuk dalam hadith Rasulullah, “Ya Allah, didiklah aku dengan pekerti yang
terbaik.”
Matlamat pendidikan sebenarnya adalah menghasilkan anak
yang beradab. Adab dalam tradisi Islam merujuk kepada ihsan yang tinggi. Adab,
kata sesetengah sarjana, merujuk kepada disiplin minda, hati dan amal. Pekerti
yang baik dan akhlak yang terpuji yang didukung oleh ilmu yang benar dan
bermanfaat akan melahirkan manusia yang cemerlang.
Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berdiri atas rasa
ihsan yang tinggi akan membentuk anak yang beradab dan mempunyai kekebalan yang
tinggi terhadap pengaruh negatif. Kekebalan diri dengan nilai kerohanian yang
baik diterjemahkan dalam amal yang baik akan menghasilkan manusia yang beriman.
Iman yang disertai dengan amal soleh bakal membimbing manusia kearah kebaikan
dan kesejahteraan.