Membaca Buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat
Oleh Ooi Heng
Membaca buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat
membawa pemikiran saya kepada dimensi pinggiran yang lebih merupakan
interaksi seorang bukan Muslim dengan realiti semasa. Dimensi utama yang
melibatkan interaksi seorang Muslim dengan dunia di sekelilingnya
bukanlah pengalaman dan worldview yang mencorakkan pemikiran seorang
bukan Muslim seperti saya.
Tanggal 25 Jun 2012, saya telah menghadiri masjlis pelancaran buku
ini, yakni karya terkini Dr. Siddiq Fadzil, “seorang guru tua dari
pedalaman” yang telah terlibat sebagai seorang aktivis semenjak zaman
pelajar sehinggalah beliau memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
sebagai Presiden ketiga (1982-1991). Hampir seribu hadirin hadirat yang
mengisi dewan sebuah hotel di Ampang mungkin ternampak kehadiran
seorang dua bukan Muslim pada malam itu.
Saya ghaibnya membaca dengan pantas dan dapat menghabiskan sebuah
buku dalam masa dua tiga hari termasuk hari Sabtu dan Ahad. Tetapi saya
asyik berhenti memikirkan sesuatu semasa membaca buku Islam dan Melayu,
sehinggalah pada ketika menulis artikel ini, saya hanya sempat membaca
hampir seratus halaman.
Selama lebih kurang satu dasawarsa berkecimpung dalam dunia penulisan
bermula dengan penulisan bahasa Cina, membaca merentasi bahasa
mencakupi bahasa Cina, Melayu dan Inggeris telah mengisi kebanyakan masa
lapang saya. Membaca merentasi bahasa dan membabitkan pembacaan
membicarakan soal Islam dan Melayu adalah suatu pengalaman unik bagi
seorang bukan Muslim seperti saya. Yang direntasi bukan sekadar
perbezaan bahasa, tetapi juga melibatkan perbezaan budaya, tradisi ilmu
dan worldview.
Dunia penulisan bahasa Cina telah banyak kali mempersoalkan mengapa
pembaca senantiasa meletak segolongan penulis “dunia Tionghua” termasuk
Taiwan dan China sebagai intelektual utama yang juga menjadi inspirasi
dalam proses pencarian ilmu dan penulisan bahasa Cina. Dengan kata lain,
mengapakah tradisi ilmu di negara lain dijadikan sebagai sumber utama
tradisi ilmu tempatan? Tiadakah penulis tempatan yang juga bergelar
intelektual? Tidak cukupkah bilangan penulis tempatan dan kualiti
penulisan mereka dalam membentuk gelanggang penulisan bahasa Cina dengan
tradisi ilmu tersendiri?
Sesungguhnya, dunia penulisan bahasa Melayu juga berdepan dengan
persoalan seumpama. Lebih-lebih lagi penulisan bahasa Melayu yang juga
menyentuh soal Islam. Di manakah tradisi ilmu yang menjadi sumber
inspirasi utama dunia penulisan bahasa Melayu dan Islam jikalau bukan
terlahir daripada gelanggang penulis tempatan? Apakah Indonesia dan
negara-negara sekitar gerakan Arab Spring yang menjadi sumber utama
membentuk tradisi ilmu tempatan?
Bagi penulis bahasa Cina tempatan, satu persoalan yang lebih unik
adalah, mengapakah penulisan bahasa Cina sering kali berdepan dengan
masalah pengiktirafan dalam tanah air kelahiran mereka?
Saya masih ingat pada satu hari apabila saya terbaca dalam buku
Edward Said, beliau menyentuh sumbangan tokoh ilmu tempatan Syed Hussein
Alatas dalam mempersoalkan kerangka permasalahan penulisan dan proses
kolonialisme yang mencorakkan sifat Melayu kononnya disemai budaya
malas. Selepas itu, saya pernah beberapa kali menanyakan kawan-kawan
yang saya temui, ramai dalam kalangan mereka yang mengenali Edward Said
tidak mengenali tokoh besar tempatan Syed Hussein Alatas.
Pernah juga saya terbaca karya yang menyifatkan intelektual awam
sebagai species unik yang penulisannya merupakan sebahagian daripada
praktis yang dapat memimpin (lead) pada masa yang sama membentuk nilai
dan budaya kehidupan awam sesuatu masyarakat pada zaman tertentu. Agak
ramai intelektual tempatan yang pada pandangan saya pernah menghidupkan
sifat seorang intelektual awam. Bermula pada malam pelancaran buku Islam
dan Melayu, saya berpeluang mengenali seorang lagi aktivis masyarakat
yang disifatkan oleh pemidato pada malam tersebut Anwar Ibrahim sebagai
intelektual awam.
Kali ini agak istimewa buat saya, kerana yang saya mengenali melalui
pandangan orang dan pemahaman diri saya adalah seorang aktivis Islam
yang membicarakan soal Islam dan umatnya. Saya sukakan buku ini kerana
beberapa kemusyikilan yang tertanam dalam hati saya kini “terjawab”.
Barang kali “terjawab” bukanlah istilah yang tepat. Saya bukan mendapat
jawapan daripada pembacaan buku tersebut tetapi dapat memahami dengan
lebih lanjut mengenai persoalan tertentu melalui dialog antara bisikan
pemikiran saya dengan apa yang dibicarakan dalam buku Islam dan Melayu.
Bagi seorang bukan Muslim, persepsinya terhadap Islam sering kali
tertanam kerana pengaruh kuat politik kepartian. Tetapi buku Islam dan
Melayu telah melakarkan sesuatu yang berbeza dengan persepsi bukan
Muslim mengenai Islam. Telah banyak kali akhbar bahasa Cina melaporkan
sudut berita atau pandangan bahawa bukan Muslim akan mendapat layanan
second class mengikut hukum Islam. Dalam makalah berjudul “Kepimpinan
Politik Melayu: Dari Tradisi ke Demokrasi-Islami”, Ustaz Siddiq Fadzil
telah membicarakan permalasahan berhubung status Islam seperti yang
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan akhirnya merumuskan
pandangan di bawah yang juga menyentuh hak seorang bukan Muslim:
Negara yang demokratik-Islamik model Malaysia harus mampu merealisasikan
maqasid al-shari’ah dalam konteks pluraliti kaum, agama dan budaya.
Keadilan, kebebasan dan martabat keinsanan yang merupakan bahagian
penting daripada objektif syari’at harus dapat dinikmati oleh seluruh
warga, termasuk warga bukan-Muslim. Mereka harus dilayani selayaknya
sebagai warganegara (muwatinun), bukan kaum zimmi (dhimmiyyun).
Perubahan realiti politik telah menjadikan pengkategorian zhimmiy-harbiy
tidak relevan lagi.
Konsep warganegara adalah satu konsep penting dalam dunia hari ini.
Biarpun bagi bukan Muslim yang tidak mempunyai pemahaman mengenai hukum
Islam, pengiktirafan sebagai warganegara adalah asas sekali, malah,
penyelesaian kepada masalah utama yang berbangkit kerana
ketidaksaksamaan dari segi pelaksanaan dasar selama ini juga berkait
rapat dengan kelemahan penghayatan pemegang kuasa terhadap konsep
warganegara. Hari ini banyak yang telah dibincangkan mengenai kegagalan
dasar kerajaan dalam menyelesaikan masalah kemiskinan dan jurang antara
Melayu kaya dengan Melayu kurang berada yang semakin meluas. Begitu juga
keadaannya apabila dibincangkan jurang antara keluarga berada dengan
keluarga kurang berada tanpa mengira latar etnik.
Dalam makalah berjudul “Wasatiyyat al-Islam: Melihat Kembali Erti dan
Aplikasi ‘Moderasi’ islam”, Ustaz Siddiiq Fadzil ada menyentuh soal
jurang kekayaan. Menurut beliau,
Ekonomi wasatiyyah tidak mengizinkan pembolotan sehingga hak
memanfaat dan menikmati kekayaan menjadi terbatas hanya di kalangan
kelompok kecil para hartawan (dulatan bayma al-aghniya’). Apabila
jurang ekonomi antara golongan: the have – the have not – the have a lot
telah menjadi sedemikian luas, pemerintah harus campur tangan demi
mengembalikan wasatiyyah dalam erti keseimbangan dan keadilan sosial.
Selain campur tangan kerajaan dari segi pelaksanaan dasar, saya
berpendapat, pembaharuan proses penggubalan dasar yakni paradigma yang
mencorakkan keseluruhan pembentukan dasar baharu adalah perlu. Paradigma
lama selama ini yang dtunjangi pemikiran dan kepentingan kelompok kecil
sama ada bertopengkan nama bangsa, kaum, atau negara, sering kali
meminggirkan kepentingan kaum majoriti (atau etnik?) dan membangkitkan
ketidakpuasan kaum minoriti (atau etnik?).
Pelbagai masalah yang berbangkit ekoran pelaksanaan dasar yang tidak
adil tidak dapat diselesaikan selain menanam dalam minda etnik terbesar
bahawa mereka berada dalam keadaan terancam meskipun hakikatnya bukan
begitu. Tindakan sedemikian serupa apa yang disifatkan dalam buku Islam
dan Melayu sebagai gejala pembodohan rakyat. Apakah Melayu mahu terus
diperbodohkan dengan andaian yang jauh memesong daripada realiti semasa
kononnya etnik terbesar berdepan dengan ancaman?
Bagi saya, pendekatan baharu berlandaskan konsep warganegara dan
bukannya kepentingan kelompok tertentu harus melatari keseluruhan proses
penggubalan dan pelaksanaan dasar. Dalam pada itu, pemberdayaan rakyat
adalah penting untuk menyingkir gejala pembodohan rakyat sekaligus
menyediakan suasana yang cergas untuk penerapan dan pencerahan idea yang
seiring dengan nilai zaman semasa.
Dalam makalah berjudul “Pemberdayaan Umat: Kembalikan Daulat
Keinsanan Rakyat!”, Ustaz Siddiq Fadzil telah menyentuh peri pentingnya
pemberdayaan rakyat dan bahawa “pakej pemberdayaan rakyat dalam konteks
sekarang harus meliputi pendidikan demokrasi, agar dengan begitu rakyat
tahu makna sebenar demokrasi, dan bagaimana ia semestinya dilaksanakan”.
Rakyat harus dididik bagaimana menggunakan hak demokratiknya secara
bijaksana dan bermaruah.
Sebenarnya banyak hujah Ustaz Siddiq Fadzil yang ingin saya sentuh
dan bincang. Tetapi apa yang lebih penting ialah, buku ini wajar
dijadikan bacaan penting bukan Muslim. Hujah progresif dalam konteks
hukum Islam berbeza dengan sudut berita yang diutarakan dalam media.
Bacalah sendiri supaya anda dapat menghayati sebuah karya secara
menyeluruh dan mendalam. Saya sekadar menyentuh dimensi pinggiran.
Akhir sekali, ingin saya berkongsi puisi seorang penyair-budayawan
kenamaan Rendra berjudul “Kesaksian Bapak Saija” yang berbunyi seperti
berikut:
Hidup tanpa daya
sebab daya ditindih ketakutan.
Setiap hari seperti mati berulang kali.
Setiap saat berharap menjadi semut
agar bias menjadi tidak kelihatan.
Sekarang setelah mati
baru aku menyedari
bahwa ketakutanku membantu penindasan,
dan sikap tidak berdaya menyuburkan ketidakadilan.
*Ooi Heng ialah Pengarah
badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis
MerdekaReview bahasa Melayu dan bahasa Cina.
استغفروا ربكم إنه كان غفارا يرسل السماء عليكم مدرارا ويمددكم بأموال وبنين ويجعل لكم جنات ويجعل لكم أنهارا 'Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, -sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun-, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat,dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.
Pages
About Me
- abou yuseff
- nasr city, cairo, Egypt
- Aku hamba MU. Anak hamba Mu. Ubun2 ku di tangan-Mu.Telah berlaku hukuman Mu pada ku. Adil keputusan Mu pada ku. al-imam al-qurtubi menulis tafsirnya kerana kata beliau; " كتبت تذكرتا لنفسي" aku menulis sebagai peringatan untuk ku.
No comments:
Post a Comment