(Sinar Harian
10.11.14)
Saya cuba
mengelakkan untuk menggunakan istilah ultra kiasu setelah dinasihati oleh rakan
seperjuangan, kerana ada yang beranggapan saya merujuk kepada semua orang Cina.
Wal hal tidak. Tetapi, mutakhir ini serangan demi serangan mereka keterlaluan. Tidak
berlapik dalam berbicara.
Ultra kiasu mempersoalkan
kedudukan Sekolah Agama (SA) yang terdiri dari murid beragama Islam sahaja, juga
bersifat perkauman sama seperti Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).
Pertama, jawapan saya, SA tidak perkauman dan
tidak rasis kerana operasinya dibenarkan oleh perlembagaan, dan telah
dipersetujui oleh semua kaum. Malah kewujudan institusi agama (Melayu) yang
lain juga tidak rasis, seperti UiTM, JAKIM, Majlis Agama, Jabatan Agama dan
banyak perkara lain berkaitan Islam.
Kedudukan Islam bukan sahaja hanya terkandung
dalam Perkara 3, tetapi ia juga harus dibaca bersekali dengan Perkara 8, 11,
12, 121, 150 dan kedudukan Yang di Pertuan Agong dalam hal ehwal agama Islam. Bukti
ini menunjukkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia mempunyai kedudukan
keistimewaan berbanding yang lain.
Melalui kuasa perlembagaan inilah, Seksyen 36 dan
37 Akta Pelajaran 1961 digubal dan mewajibkan mana-mana sekolah yang menerima bantuan kerajaan supaya
memperuntukkan pengajaran agama Islam dengan syarat jumlah pelajar di sekolah
itu tidak kurang daripada lima belas orang. Semua perbelanjaan bagi pengajaran
itu dibiayai oleh kumpulan wang yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan (Mohd
Salleh Abas 1985).
Fakta
ini menunjukkan Islam, diberikan keistimewaan berbanding agama lain meskipun
perlembagaan turut menjamin hak kebebasan beragama. Dana awam boleh digunakan
untuk pembangunan syiar Islam.
Bukan Islam di Malaysia amat bernasib baik, kerana
kerajaan menyediakan peruntukan untuk pembangunan SJK dan juga rumah ibadat,
walaupun tidak disebut dalam perlembagaan. Inilah toleransi dan keadilan yang
tidak ada tolok bandingnya.
Perlu diingatkan, lebih dari 15 buah negara di
dunia menjunjung agama dalam perlembagaan negara masing-masing, mengikut
siapakah yang menjadi majoriti (Kristian, Islam atau Buddha). Antara negara
Kristian adalah Ireland (Perkara 6), Norway (Perkara 1), Denmark (Perkara 3),
Sepanyol (Perkara 6), Argentina (Perkara 2), Bolivia (Perkara 3), Panama
(Perkara 36), dan Paraguay (Perkara 3). Manakala, negara Islam ialah
Afghanistan (Perkara 1), Iran (Perkara 1), Iraq (Perkara 13), Jordan (Perkara
2) dan Syria (Perkara 3) dan negara Buddha ialah Thailand (Perkara 7). Kesemua
negara ini memberikan keistimewaan kepada agama mereka. Jadi, apa masalahnya?
Kedua, kesemua pelajar sekolah agama boleh menulis
dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu (BM) dengan baik. Majoriti mereka lulus BM
dalam peperiksaan.
Cuba ultra kiasu kaji berapa ramai pelajar SJK
yang gagal dalam BM dan langsung tidak boleh berkomunikasi dalam BM, sehingga
kelas peralihan (remove class) terpaksa diwujudkan bagi membantu.
Mana dalam ada dunia ini satu sistem yang
menyediakan kelas khas untuk mereka yang buta bahasa kebangsaan, kecuali
Malaysia? Hargai usaha kerajaan ini.
Ketiga, dahulu SA kebanyakan dibangunkan oleh
rakyat atau umat Islam, termasuk dana bantuannya. Ia dikenali sebagai SA Rakyat
(SAR). Sekolah agama bantuan penuh kerajaan tidak banyak, berbanding bilangan
SJK berganda-ganda bilangannya yang dibantu sepenuhnya oleh kerajaan hari ini.
Itupun SJK tidak mahu mengikut arahan kerajaan
supaya ditambahkan waktu pengajaran dan pembelajaran (P&P) subjek BM.
Sebarang cubaan untuk memandaikan murid-murid SJK dalam BM ditentang kerana
takut penguasaan bahasa ibunda terjejas.
Keempat, saya adalah kalangan anak Cina pada usia
belasan tahun yang mengikuti kelas agama dan mengambilnya dalam peperiksaan.
Sepanjang P&P yang berlaku, ustaz atau ustazah tidak pernah tanamkan
kebencian kepada kaum lain (bukan Islam), kerana Islam tidak membenarkan.
Kelima, SA menggunakan bahasa pengantar BM,
sedangkan SJK menggunakan bahasa asing (ibunda). Sudah tentu tahap kesayangan
murid terhadap bahasa berbeza. Murid SJK lebih sayang bahasa ibunda dari bahasa
kebangsaan. Mungkin di sini wujud tuduhan perkauman itu.
Keenam, bagi membuktikan perkara di atas, apa kata
kita anjurkan debat atau syarahan atau hari interaksi antara SA dan SJK. Kita
lihat, siapa yang akan lebih mudah berinteraksi dan bergaul. Saya amat yakin
murid-murid SJK akan memencilkan diri, kerana mereka ada masalah komunikasi
dalam BM.
Ketujuh, mungkin
kepada sesetengah kaum, agama itu tidak penting. Tetapi tidak kepada umat
Islam. SA bertujuan untuk mendalamkan pengetahuan umat Islam terhadap Islam.
Mudah-mudahan dengan ajaran tersebut, mereka akan menjadi semakin baik dan bertoleransi.
Sejarah membuktikan, penerimaan orang Melayu terhadap bukan Melayu yang datang
berhijrah, sangat tinggi, disebabkan oleh pengajaran dan kefahaman mereka terhadap
Islam. Sebab itu mereka dilayan dengan baik kerana tuntutan agama.
Kesimpulannya, jika ditakdirkan orang Melayu tidak
faham Islam ketika mana penghijrahan itu berlaku, apakah kita ada seperti hari
ini? Justeru, berpada-padalah bila bercakap. Ingatlah, melalui kefahaman Islam
itulah yang menjadi kita boleh hidup selesa dan kaya raya di sini.
No comments:
Post a Comment