Pages

About Me

My photo
nasr city, cairo, Egypt
Aku hamba MU. Anak hamba Mu. Ubun2 ku di tangan-Mu.Telah berlaku hukuman Mu pada ku. Adil keputusan Mu pada ku. al-imam al-qurtubi menulis tafsirnya kerana kata beliau; " كتبت تذكرتا لنفسي" aku menulis sebagai peringatan untuk ku.

Sunday, December 26, 2010

Bertenang ketika di Tenang

(Mingguan Malaysia 26 Disember 2010)

Tarikh pilihan raya kecil DUN Tenang telah diketahui. DUN Tenang mengandungi 49.66% Melayu, 38.13% Cina, 12.11% India , 0.10% lain-lain. UMNO mendapat majoriti 5517 tahun 2004 dan majoritinya menurun kepada 2492 pada tahun 2008, dengan makna sokongan terhadap UMNO merosot. Pada pengamatan saya, pilihan raya kecil ini adalah cerminan kepada pilihan raya umum akan datang, sebab nisbahnya hampir mewakili kedudukan sebenar penduduk Malaysia, antara Islam dan bukan Islam. Majoriti yang dimenangi amat penting dalam menentukan lanskap politik negara, walaupun semua ini belum boleh dimuktamadkan.

PAS dilihat tidak mempunyai masalah untuk menentukan calon. Mereka akan akur kepada keputusan pucuk pimpinan, tanpa ada undi protes. Inilah kelebihan PAS yang turut diakui oleh Karpal Singh dan parti lawan. Ahlinya setia dan istiqamah. Jarang kedengaran wakil rakyatnya melompat parti berbanding parti-parti politik yang lain. Terus terang, antara PAS dan UMNO, ahli-ahli PAS dilihat lebih komited dan bersatu. Walaupun bilangan ahlinya tidak seramai UMNO, kuantiti bukanlah penentu ukuran kejayaan, tetapi adalah kualitinya.

Seringkali apabila berlaku pilihan raya, penentuan calon adalah sesuatu perkara yang amat sukar bagi parti lain sebab masing-masing mahu jadi calon. Ada yang sudah mula melobi apabila mendengar sahaja DUN atau Parlimen akan dikosongkan, sama ada disebabkan oleh kematian atau meletak jawatan. Kadangkala kita lihat ketika wakil rakyat itu sedang sakit atau nazak, lobi-melobi sudah bermula. Semua mahu jadi wakil rakyat kerana di situ ada kuasa. Kuasa boleh mendapatkan banyak perkara, terutama tiga ta, wanita, takhta dan harta.

Lebih malang lagi, calon yang tidak terpilih biasanya akan memberontak, sama ada tidak turun mengundi, atau mengundi parti lain atau mungkin juga mempengaruhi pengikut-pengikutnya melakukan tindakan yang sama. Akibatnya, undi pecah. Jika menangpun, majoritinya tidak banyak. Tidak mustahil juga akan kalah. Budaya sebegini amat tidak sihat dan perlu dibenteras dalam program transformasi yang sedang diusahakan Perdana Menteri.

Dahulu, orang takut menjadi pemimpin, sebab mereka tahu bahawa memimpin itu adalah satu tanggungjawab dan amanah yang akan disoal oleh Allah Swt. Sebagai respon, rakyat selalu mendoakan pemimpin atau wakil rakyat mereka supaya sentiasa sihat dan panjang umur. Kini, keadaan mula berubah. Semua berlumba-lumba mahu jadi pemimpin, tanpa mengira kelayakan, bakat dan kebolehan. Golongan cerdik pandai sukar untuk mendapat tempat kerana telah dicantas sejak awal-awal lagi.

Mungkin ada benarnya kata-kata, rakyat hari ini mula mendoakan wakil rakyatnya cepat mati, kerana dengan kematian itu akan berlaku pilihan raya kecil dan hajat untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat mungkin tercapai. Bagi rakyat marhaen pula, lain pula keseronokannya, kerana mendapat berbagai peruntukan seperti jalan raya dan rumah baharu. Pendek kata, dengan adanya pilihan raya, lanskap atau keadaan sesuatu kawasan berubah serta-merta. Tidak kira sama ada kawasan tersebut di bawah BN atau PR.

Inilah budaya pemikiran pandir atau politik pandir yang masih berlaku dalam budaya politik negara kita seperti yang diungkapkan oleh Syed Hussin Al-attas. Perkara sebegini jarang berlaku di negara maju. Mereka yang ingin menjadi pemimpin, mesti membuktikan bahawa mereka benar-benar boleh memimpin. Jika tidak, mereka mereka akan ditinggalkan dalam arus perdana.

Justeru, kita lihat pemimpin negara maju mengamalkan sikap begitu mulia, jika terpilih jadi pemimpin, Alhamdulillah. Tidak terpilih, bersangka baik dan tidak khianat. Malah, terus berusaha memperkasakan parti demi untuk agama, bangsa dan negara. Itulah bahasa yang mudah diungkapkan, walaupun semua negara maju adalah bukan negara Islam. Tetapi nilai-nilai Islam dapat dilihat di sana. Nilai-nilai inilah yang menjadikan mereka cepat maju. Berbanding dengan negara-negara Islam yang masih ketinggalan. Nama saja Islam, akhlak entah ke mana, hidup penuh khianat, tipu daya dan pura-pura. Pahit juga untuk membuat generalisasi sedemikian, tetapi itulah hakikatnya.

Senario yang disebutkan perlu menjadi ingatan kepada kita dalam menikmati suasana tenang di DUN Tenang dalam sebuah negara yang tenang. UMNO (BN) tidak boleh terlalu yakin dengan kemenangan sebelum ini kerana Pakatan Rakyat (PR) juga mempunyai keyakinan yang sama, apatah lagi setelah berakhir konvensyen mereka baru-baru ini. Ternyata parti ultra kiasu telah mengubah strateginya. Kalau dahulu, mereka begitu elergi dengan negara Islam PAS, kali ini rentaknya sudah berubah, mereka mahukan penyelesaian. Apakah konsep negara Islam PAS akan diterima?

Menurut Profesor Aziz Bari, isu negara Islam tidak termasuk dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat selain tidak disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Beliau juga mencadangkan adalah lebih baik Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP memberi tumpuan ke atas perkara-perkara lain daripada bercakap soal negara Islam, seperti program-program ekonomi termasuk langkah-langkah untuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan sebagainya. Aziz berkata, apa yang penting setiap rakyat harus mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan memandangkan ia menjaga kepentingan setiap rakyat.

Saranan Aziz Bari bukan mudah untuk dipersetujui oleh PAS kerana Presiden PAS sudah memberikan respon bahawa PAS perlukan masa untuk menjelaskan kepada DAP tentang konsep negara Islam. Saranan saya, PAS tidak perlu jelaskan kepada DAP, kerana DAP tidak pernah akan bersetuju. Lebih baik PAS duduk bersendirian daripada bersubahat dengan kemungkaran dalam Pakatan Rakyat.

Saya juga ingin sangat mendapatkan komen Pas mengenai gambar Lim Kit Siang mengangkat dan memegang tangan Presiden PKR Wan Azizah di atas pentas ketika konvensyen PR baru-baru ini yang siarkan dalam Malaysianinsider. Malangnya gambar tersebut tiba-tiba hilang apabila saya ingin cetak kerana telah dikeluarkan. Inilah kegusaran PAS dan mungkin juga PKR, apabila berdepan dengan parti ultra kiasu yang bersifat sekular ini. Mereka tidak kenal halal haram, walaupun mereka mendakwa mahu mengikut pemerintahan Umar Abdul Aziz.

Jangan pula tanya saya, UMNO pun sama juga? Bukankah selama ini PAS menuduh UMNO tidak Islamik? Jadi, jika ada perkara yang melanggari batas, jawapannya wajar. Jika PAS benar-benar ikhlas dengan perjuangan, tidakkah wajar PAS mengkoreksikannya, daripada terus menuduh UMNO semuanya tidak betul. PAS juga wajar diperbetulkan oleh UMNO, kerana dilihat ‘dipergunakan’.

Perkembangan PAS mutakhir ini begitu menarik perhatian. Sedikit demi sedikit PAS mula berubah mengikut peredaran masa, walaupun mungkin terpaksa ‘menggadaikan prinsip’. Namun, PAS berada dalam keadaan yang sukar dalam pilihan kecil ini. Jika PAS mahukan ‘silent’kan isu negara Islam, sudah tentu ia akan mendapat tentangan daripada ahli-ahli partinya. PAS, negara Islam dan hudud sudah sinonim. Walaupun Karpal Singh sudah menunjukkan ‘lampu hijau’ untuk membincangkan isu negara Islam, itu bukan bermakna beliau menerima isu yang dilihat “duri dalam daging” dalam hubungan PAS-DAP.

Kedua-dua parti ini mendakwa mereka adalah parti untuk semua kaum. Namun, tindak-tanduk mereka tidak sedemikian. PAS tetap akan bertanding di kawasan majoriti Melayu, begitu juga dengan DAP di kawasan majoriti Cina. Jika mereka benar-benar parti untuk semua kaum, bertandinglah di kawasan yang sebaliknya. Apapun, DAP tetap parti dominasi Cina, begitu juga dominasi Melayu dalam PAS.

Sesiapapun yang mengkaji politik Malaysia mengetahui, memang senario politik Malaysia adalah bersifat perkauman. Mahu tidak mahu, UMNO perlu wujud. UMNO perlu mewakili majoriti orang Melayu kerana semua etnik telah diwakili melalui penubuhan parti-parti politik etnik masing-masing. Malangnya parti etnik Melayu hanya diwakili oleh UMNO satu sahaja. Sedangkan bukan Melayu diwakili oleh begitu banyak parti-parti etnik bangsa dan suku-sukunya dalam BN. Begitu juga dengan isu agama, Islam yang dibawa UMNO terpaksa menghadapi paling kurang lima agama yang diwakili oleh parti-parti tersebut. Bagaimanakah UMNO hendak menghadapinya semua tuntutan ini, jika Islam yang diwakilinya tidak begitu kuat atau banyak bilangannya?

Selama ini UMNO berseorangan menghadapi mereka semua. Itu yang menyebabkan kadang kala keputusan UMNO ibarat diluah mati mak, ditelan mati bapak, terutama selepas PRU 2008. Ada kalanya UMNO terpaksa ‘menggadaikan prinsip’ disebabkan oleh tuntutan dan desakan luar teramat kuat. Pada saya, di saat-saat ini PAS perlu tampil menghulurkan bantuan. Bukan seronok melihat UMNO hancur.

Percayalah, jika UMNO hancur, Melayu akan hancur. Tidak semua Melayu UMNO akan menyokong PAS sekiranya UMNO hancur. Walaupun PAS mungkin boleh mendabik dada dengan mengatakan bahawa PAS adalah parti altenatif orang Melayu, selepas melihat UMNO hancur.

Sejarah membuktikan bahawa percubaan untuk menubuhkan parti pelbagai kaum telah gagal seperti yang cuba dilakukan oleh Dato Onn Jaafar melalui Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) 1951, setelah kecewa dengan UMNO. Walaupun Parti Negara yang ditubuh selepas itu tidak membuka keahlian kepada bukan Melayu, tetapi tidak mendapat sambutan, kerana orang Melayu sudah ada altenatif iaitu UMNO.

Pendek kata, politik Malaysia sudah sebati dengan perkauman. Politik, ekonomi, pendidikan dan sosial semuanya perkauman. UMNO boleh berbeza pendapat dengan PAS. Begitulah sebaliknya. Tetapi janganlah sampai perbezaan tersebut sehingga boleh menimbulkan konflik yang berpanjangan. Tidak perlulah mengeluarkan kata-kata hancurlah UMNO atau hancurlah PAS. Bertandinglah secara profesional tanpa mengecam dan mengumpat. Elok kita bertenang sedikit ketika berada dalam suasana Tenang.

Janganlah dicemari dengan insiden-insiden politik pandir yang saya sebutkan tadi. Apatah lagi jika mesej Islam yang diperjuangkan oleh parti yang bertanding. Kalimah ‘Islam’ itu membawa makna yang begitu besar apabila Ia digunakan dan tidak boleh sama sekali dipermainkan.

Penggunaan kalimah Islam sepatutnya melembutkan hati-hati kita, bukan menjadikan kita semakin ego. Sudahkah kita lupa adab-adab berbeza pendapat atau adabul ikhtilaf. Berbeza pendapat dibenarkan selagi tidak putus persaudaraan, apatah lagi sehingga berpecah-belah. Jika Rasulullah SAW hidup ke saat ini dan melihat keadaan umatnya, Baginda pasti akan menitiskan air mata. HatiNya mungkin terasa hiba melihat betapa negara-negara Islam begitu ketinggalan berbanding negara-negara Barat. Kehibaan ini bukan disebabkan oleh keadaan umat Islam ketinggalan, tetapi yang membuat hati Nabi Muhammad begitu terluka, adalah ketika umat Baginda saling membenci dan bermusuhan antara satu sama lain. Umatnya begitu bodoh sehingga boleh dipergunakan. Inilah punca mereka ketinggalan.

ridhuan tee..

Wednesday, December 15, 2010

أديب الفقهاء و فقيه الادباء


Kata Ali Tantawi (أديب الفقهاء و فقيه الادباء):

"Sifat panjang angan-angan sememangnya tertanam di dalam diri manusia. Oleh itu, walaupun kematian adalah perkara yang paling hampir kepada pancaindera kita, tetapi ia merupakan perkara yang paling jauh daripada pemikiran kita.

Setiap hari kita melihat gerombolan yang membawa keranda melalui rumah kita, tetapi kita tetap merasa bahawa kita akan kekal. Setiap hari kita mengiringi jenazah ke tanah perkuburan, tetapi kita masih berbicara tentang dunia. Kita sentiasa melihat tanah-tanah perkuburan memenuhi pelusuk dunia, tetapi kita tidak pernah berfikir bahawa suatu hari kita akan menjadi salah seorang penghuninya.

ASTAGHFIRULLAH.

Tanah perkuburan itu akan menjadi kediaman tubuh badan kita. Adakah kita mengetahui apakah sebenarnya tubuh badan kita? Kita melihat seorang memakai pakaian dan akan menanggalkannya jika kotor. Kita juga melihat apabila seorang kanak2 dilahirkan, maka ia akan meninggalkan dan keluar daripada urinya. Kita juga melihat seseorang meninggal dunia lalu ruhnya berpisah daripada jasadnya. Jasad hanyalah pakaian yang boleh dipakai dan ditanggalkan. Dan jasad itulah juga yang diletakkan di dalam tanah.

Manusia sentasa melupakan kematian.

Tetapi orang mukmin sentiasa mengingatinya dan sentiasa bersiap sedia untuk mengahadapinya. Dia bersiap sedia dengan melakukan taubat, istighfar dan mengembalikan semua hak orang lain yang ada padanya. Setiap pagi dan petang dia sentiasa memuhasabah diri. Dia bersyukur kepada Allah jika diberikan taufiq untuk melakukan kebaikan. Dia beristighfar meminta ampun jika melakukan kejahatan. Dia mengingati akhirat. Dia takut untuk menghadapi hari yang membolak-balikkan muka dan membeliakkan pandangan manusia. Dia bimbangkan azab yang akan berlaku selepas kematian. Dia mengharapkan pahala dan balasan baik selepas kematian. Dia menjadikan sifat sabar dan solat sebagai penolong.

Dia melakukan kebaikan kerana mengharapkan keredhaan Allah dan apa yang ada di sisi-Nya".

(Ta'rif 'Aam bi al-Din al-Islam, syeikh Ali Tantawi)

Sunday, December 12, 2010

Di mana salahnya ketuanan Melayu?


Mingguan Malaysia, 12 Disember 2010

Berbagai pihak memberikan pandangan mengenai ketuanan Melayu. Saya fikir semua faham, tetapi sengaja buat-buat tidak faham. Istilah ketuanan Melayu langsung tidak ada kaitan antara hubungan tuan dan hamba. Melayu bukan tuan, bukan Melayu bukanlah hamba. Ketuanan Melayu sekadar istilah atau identiti menunjukkan bahawa bumi ini adalah kepunyaan orang Melayu asalnya, itu sahaja. Bacalah artikel dan pendapat siapapun, itulah rata-rata jawapannya, kecuali pandangan MCA dan sekutunya. Hanya mereka yang ultra kiasu sahaja yang memberikan jawapan sebaliknya. Apa yang saya tahu inilah adalah percubaan halus untuk menghapuskan apa juga identiti negara ini yang berkaitan dengan Melayu.

Dalam buku teks sejarah sekolah menengah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2004), ketuanan Melayu didefinisikan sebagai semangat cinta akan apa sahaja yang berkaitan dengan bangsa Melayu seperti hak politik, bahasa, kebudayaan, warisan, adat istiadat dan tanah air. Semenanjung Tanah Melayu dianggap sebagai tanah pusaka orang Melayu. Jadi, dimanakah salahnya istilah ini? Berdasarkan kepada definisi ini jelas menunjukkan bahawa semua bangsa mempunyai ketuanan masing-masing. Bezanya cuma, ia tidak disebut sahaja ketuanan Cina atau ketuanan India, namun perjuangan dan apa yang mereka perolehi menampakkan segala.

Saya amat pelik bagaimana ada pemimpin Melayu boleh begitu anti dengan istilah tersebut walhal dulu semasa berada dalam Umno, tidak pun istilah ini diungkit atau ditentang. Malah, saya yakin jika mereka masih berada dalam Umno, istilah ini akan dipertahankan bermati-matian. Cepat sungguh mereka berubah bagi mendapatkan laba politik.

Jika perkataan tuan itulah yang menjadi masalah, maka saban hari kita adalah hamba, sebab dalam urusan rasmi dan surat-menyurat panggilan tuan atau puan sudah merangkumi semua golongan dan pangkat, sama ada yang bergelar atau tidak bergelar. Panggilan tuan sudah sebati dengan masyarakat negara ini. Selaku pensyarah di institusi akademik pertahanan, panggilan tuan adalah lumrah. Jika sedemikian elerginya panggilan tuan bermakna, saya adalah tuan setiap hari, manakala pegawai kadet adalah hamba sepanjang masa. Bila berbahasa dengan raja, kita gunakan tuanku - patik. Dahulu sesama kita menggunakan perkataan tuan-hamba. Panggilan tuan sekadar panggilan hormat, tidak ada maksud lain.

Sebab itu, saya sentiasa menyeru segelintir bukan Melayu, terutama MCA, Gerakan dan DAP, cuba memahami adat budaya Melayu daripada orang lain, kerana ia lebih membawa makna untuk masa depan negara daripada terlalu bongkak. Orang Melayu yang saya kenali begitu menghormati bukan Melayu. Kebanyakan bila mereka bercakap dengan bukan Melayu, tiba-tiba pelat atau bunyi (accent) mereka berubah seperti pelat bukan Melayu berbahasa Melayu, sehingga bahasa Melayunya menjadi caca merba.

Benar, surah al-Hujurat ayat 13, Allah menjelaskan semulia-mulia manusia berbilang bangsa di kalangan kamu adalah iman dan takwa. Tetapi manusia tetap ada bangsa yang diciptakan untuknya. Maka, ia perlu dipelihara dan dijaga. Justeru, di mana salahnya istilah ketuanan Melayu? Negara lain tidak perlu mengungkapkan istilah ketuanan kerana nama negara mereka sudah cukup mencerminkan bahawa mereka adalah tuan asal negaranya, seperti Cina, India, Vietnam, Siam, Nyanmar dan sebagainya. Tetapi tidak Malaysia. Tanah Melayu telah bertukar nama. Singapura telah bertukar kepada Singapore. Identiti Melayu telah hilang. Maka sebagai tanda identiti, istilah ini digunakan.

Apakah dengan istilah ini menimbulkan masalah kepada bangsa lain? Dengan makna, diskriminasi menjadi-jadi, orang bukan Melayu terus merempat? Apa yang kita lihat, semakin lantang Umno mahu kekalkan ketuanan Melayu, dasar Umno semakin terbuka. Umno ditekan kiri kanan, depan dan belakang, sehingga tidak dapat bernafas. Tuntutan demi tuntutan bukan Melayu terus dipenuhi dan peluang terbentang luas, sehingga orang Melayu sudah tidak mampu untuk mengejarnya.

Kenapa isu ini hendak dipolitikkan dengan mengaitkan dengan ketuanan Allah, ketuanan Rakyat dan sebagainya. Sebenarnya tidak ada kaitan. Inilah akibat apabila kita melihat sesuatu bukan daripada bidang kepakaran atau sejarah. Semua mahu bercakap. Maknanya, istilah ini terdedah kepada pandangan semua orang. Sudah tentu mereka akan memilih sesuatu yang menyebelahi mereka. Kita tidak menggunakan ketuanan Allah kerana perkataan tuan itu tidak sesuai untuk Allah, maka kita gunakan Maha Esa atau Maha segalanya untuk Allah.

Justeru, raja dirujukkan sebaga Duli Yang Maha Mulia. Ia hanya satu ungkapan kemuliaan raja. Jangan pulak ada yang menuduh saya syirik nanti. Sebenarnya, istilah Maha ini hanya untuk Allah, tetapi disebabkan oleh budaya feudal Melayu taat dan memuliakan kepada raja, maka istilah Maha itu sebenarnya merujuk kepada tuan. Justeru, ketuanan raja tidak perlu dibahaskan kerana telah diterima seperti termaktub dalam perlembagaan.

Oleh kerana semua raja adalah kerabat keturunan Melayu sebagai identiti, maka adalah tidak salah istilah ini dipanjangkan kepada ketuanan Melayu. Orang Melayu boleh atau layak menjadi raja jika keturunan raja sudah tidak ada atau putus. Seperti di China dan di India, apabila jatuhnya institusi perajaan, maka sistem pemerintahan berubah. Raja tetap wujud cuma nama sahaja yang berbeza. Lagipun semua manusia bermula dengan manusia biasa. Istilah raja digunakan merujuk mereka yang menjadi pemimpin pada satu-satu ketika dan seterusnya diwarisi oleh keturunannya. Raja dan kerajaan sudah sinonim. Raja adalah pemerintah kerajaan. Bagi negara yang tidak mempunyai raja, maka pemimpin nombor satu dirujuk sebagai Presiden atau Perdana Menteri.

Kepada mereka yang faham sejarah, istilah Ketuanan Melayu ini merujuk kepada kerajaan negara ini pernah diperintah Sultan dan Raja-raja Melayu, yang merupakan tuan kepada tanah Melayu. Begitu juga dengan istilah negeri-negeri bersekutu dan tidak bersekutu ada sejarahnya tersendiri yang perlu dikaji dan difahami secara tersurat dan tersirat, serta kaitannya dengan ketuanan Melayu. Pendek kata, sultan dan Raja-Raja Melayu adalah simbol kepada ketuanan Melayu di negara ini, seperti mana di negara-negara barat lain yang masih mengekalkan raja.

Sejarah membuktikan juga bahawa ketika kebangkitan nasionalisme pada tahun-tahun 1800an dan 1900an, hanya orang Melayu sahaja yang bangkit menentang penjajah, walaupun ketika itu Tanah Melayu sudah bermasyarakat majmuk. Melayu berjuang membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah bukan demi kepentingan Melayu semata-mata, tetapi demi agama tercinta. Sama juga di Mesir pada tahun 1882, muncul gerakan pemulihan Islam di Mesir untuk membangkitkan kesedaran di kalangan umat Islam bagi membela kedaulatan bangsa dan agama. Gerakan ini dipelopori oleh Sheikh Muhammad Abduh. Pelajar-pelajar Tanah Melayu di Mesir ketika itu seperti Sheikh Mohd Tahir Jalaluddin Al-Azhari dan Syed Sheikh Al-Hadi menerima pengaruh ini dan menyebarkannya di Tanah Melayu bagi membela nasib bangsa dan agama. Keadaan tidak banyak bezanya berlaku di Indonesia. Pendek kata, tidak salah mempertahankan ketuanan bangsa selagi mana tujuan untuk menjamin kesejahteraan agama.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjadi kontroversi, langsung tidak menggugat kedudukan bangsa bangsa-bangsa lain. Mereka juga bebas memperjuangkan ‘ketuanan’ mereka dalam pelbagai aspek seperti politik, pendidikan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Mereka bebas untuk mengamalkan budaya dan cara hidup sendiri, bebas dalam meningkatkan taraf ekonomi kaum, bebas beragama, bebas meneruskan sistem pendidikan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dengan mengekalkan pengajaran bahasa ibunda masing-masing dan sebagainya. Faktor ini membuktikan bahawa istilah Ketuanan Melayu itu, bukanlah satu istilah yang mengiktiraf bahawa bangsa Melayu itu menjadi tuan, sementara kaum-kaum lain menjadi hamba kepada bangsa Melayu.

Tidak ada negara dalam dunia seperti negara kita yang begitu bertolak ansur sehingga mereka langsung tidak diasimilasikan. Ketika Perdana Menteri berucap dalam Konvensyen Barisan Nasional minggu lalu, pemimpin MCA langsung tidak senyum atau memberikan reaksi di atas cuitan ucapan PM, apabila PM berlawak jenaka bahawa orang Melayu tidak pernah mengasimilasikan orang bukan Melayu sehingga nama ditukar dari Soi Lek kepada Salleh. Begitulah hakikat toleransi yang tidak ada tolok bandingnya.

Islam meraikan “ketuanan” bangsa-bangsa tertentu berasaskan kepada faktor sejarah dan sebagainya. Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Baginda tidak menghapuskan identiti kaum Ansar yang terdiri dari Aus dan Khazraj. Mereka diberi peluang terlibat sama dalam kepimpinan politik bernegara. Begitu juga setelah berlaku pembukaan Kota Mekah (Fath Mekah), Rasulullah tidak mengambilalih kepimpinan politik tempatan daripada pembesar Quraisy di Mekah walaupun Islam menguasai ketika itu.

Selesai pembukaan Kota Mekah, Baginda sendiri mengisytiharkan sesiapa yang tinggal di dalam rumah masing-masing tidak akan dicederakan. Walaupun Baginda pernah diusir daripada Mekah, tetapi Baginda tetap meraikan tanah asal usul sesuatu bangsa dan pulang ke Madinah. Mekah tetap dipulangkan kepada bangsa Quraisy di bawah pemerintahan Islam.

Hujah ini menunjukkan bahawa mempertahankan ketuanan sesuatu bangsa di bumi mereka sendiri adalah fitrah manusia itu sendiri yang dijadikan oleh Allah SWT. Tanyalah bangsa-bangsa yang ada di negara kita ini, siapakah yang bongkak mempertahankan identiti dan dengan ketamadunannya? Tepuk dada tanyalah MCA, DAP dan Gerakan serta sekutunya.

Rasulullah SAW pernah ditanya oleh para sahabat: “Wahai Rasulullah…adakah dari kalangan Asabiyyah, seseorang itu sayang kaumnya sendiri”. Baginda menjawab: “Tidak!...akan tetapi Asabiyyah adalah seseorang itu membela kaumnya ke atas kezaliman” (riwayat Imam Ahmad dan Ibn Majah). Jelas di sini, Islam tidak menolak mempertahankan ketuanan bangsa selagi tidak bercanggah dengan prinsip Islam.

Terdapat banyak hadis sahih berkaitan ‘ketuanan sesuatu bangsa’. Antaranya yang berbunyi:

“Para Imam (mesti) dari golongan Quraisy” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi). Hadis lain menjelaskan, “Kalian adalah manusia yang paling layak memegang urusan (pemerintahan) ini selama kalian berada dalam kebenaran. Apabila kalian menyimpang dari kebenaran maka kalian akan dikupas habis sebagaimana kulit kayu ini dikupas! - Baginda menunjuk sebuah kayu yang ada ditangannya.” (riwayat al-Baihaqi). Rasulullah mempertahankan ketuanan Quraisy, selagi Quraisy berada dalam kepemimpinan Islam.

Menurut Ibn Khaldun (2006: 199-208), bangsa Quraisy dimuliakan kerana mereka merupakan golongan yang kuat dan berwibawa terutama dalam hal ehwal politik dan kenegaraan, selain daripada keturunan Nabi. Penyerahan kekuasaan kepada golongan lain akan menimbulkan kekacauan. Tidak mustahil akan terjadi peperangan sesama umat Islam yang tidak berkesudahan. Golongan Quraisy akan terus dipilih selagi mana asabiyyah (kekitaan), kewibawaan dan kekuatan politik dapat dipertahankan. Para pemerintah umat Islam mesti terdiri daripada kaum atau bangsa yang mempunyai kekuatan asabiyyah (kekitaan) dan kekuasaan yang diakui pada zamannya supaya dapat memimpin orang lain dan kesatuan umat dapat dicapai dengan pembelaan yang baik.

Desakan menolak istilah ini adalah perancangan halus untuk menyamakan semua agama, setelah berjaya menolak dominasi identiti kaum majoriti. Hari ini, saya tidak berapa nampak identiti Melayu mendominasikan upacara rasmi melainkan hanya bacaan doa. Itupun dipertikaikan juga disebabkan sikap ultra kiasu yang melampau.

Kesimpulannya, istilah ketuanan Melayu, tidak perlu dipertikaikan selagi mana matlamat perjuangan kebangsaan tersebut adalah untuk menegakkan Islam. Kepincangan dalam mempertahankan ketuanan Melayu oleh Umno misalnya, tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak ketuanan Melayu tanpa memahami sejarah bumi bertuah ini. Jika Umno yang bersalah sehingga menjadikan ketuanan Melayu seolah-olah ketuanan Umno, yang bersalah adalah Umno dan bukannya identiti ketuanan bangsa Melayu itu di buminya sendiri termasuk mereka yang berada di dalam Pas dan PKR. Justeru, janganlah dilihat bahawa mempertahankan ketuanan Melayu adalah untuk mempertahankan ketuanan Umno kerana ulamak terdahulu turut mempertahankan Melayu dan Islam walaupun ketika itu Umno masih belum wujud.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Monday, December 6, 2010

IKTIKAD ‘KETUANAN MELAYU’ MENYANGGAHI ISLAM


Merujuk kepada isu ‘Ketuanan Melayu’ yang dijadikan isu sekarang, maka di sini saya ingin menyentuh beberapa perkara;

1. Istilah ‘Ketuanan Melayu’ (malay supremacy) adalah istilah yang kabur. Tiada pentakrifan khusus kepada istilah ini. Lagipun tiada ungkapan rasmi dalam perlembagaan. Maka adalah pelik untuk mana-mana pihak cuba mempertahankan ungkapan yang kabur dan tidak tentu maksudnya ini.

2. Namun, jika merujuk kepada perkataan yang digunakan ia dari akar perkataan ‘tuan’ kepada ketuanan dan digabungkan dengan ‘melayu’, ia bermaksud orang melayu berada dalam status ‘tuan’ atau dalam bahasa Arab disebut siyadah (supremacy). Jika merujuk kepada bahasa bererti orang melayu sentiasa berada di atas, lebih tinggi dan mulia kedudukannya dibandingkan dengan ‘bukan melayu’. Jika hendak ditakrifkan maka bererti ‘kedudukan orang melayu sebagai bangsa yang lebih tinggi dan mulia’.

3. Ia berbeza dengan sekadar ungkapan ‘hak keistimewaan melayu’, kerana bukan semua yang dapat keistimewaan itu lebih mulia atau tinggi dari orang lain. Mungkin seseorang diberikan keistimewaan disebabkan faktor kekurangannya ataupun kelebihannya. Maka, perkataan ‘keistimewaan’ tidak boleh disamakan dengan ketuanan.

4. Jika seseorang menganggap dirinya lebih mulia disebabkan faktor keturunan atau bangsanya semata, atau orang lain lebih rendah dari dirinya kerana tidak berbangsa sepertinya, maka itu adalah iktikad yang salah dan menyanggahi ajaran Islam. Jika itu berlaku, ia boleh menyamai dakwaan Yahudi bahawa mereka ‘bangsa terpilih’ (chosen race). Kebanggaan yang seperti ini ditolak oleh Islam.

5. Ini kerana Allah berfirman: (maksudnya):

Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).

Ayat ini menjelaskan bahawa kemuliaan insan adalah disebabkan nilai keperibadiannya; iaitu iman dan akhlak yang mulia yang diistilahkan sebagai taqwa.

6. Nabi s.a.w menegaskan lagi dalam hadis baginda:

“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Inilah prinsip Islam dalam menilai manusia, bukan berdasarkan warna kulit dan keturunan, tetapi berasaskan nilai kebaikan yang ada pada seseorang insan.

7. Adapun hadis Nabi s.a.w: “Para pemimpin dari Quraish” (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi dll) tidak boleh dijadikan hujah ketuanan sesuatu bangsa. Hadis ini bukan soal ketuanan, tetapi soalan kemampuan dan pengaruh politik diambil kira dalam perlantikan pemimpin. Oleh kerana Quraish mempunyai pengaruh dan kemampuan politik dalam kalangan Arab ketika itu, maka mereka paling layak. Dalam masa yang sama Nabi s.a.w bersabda:

“Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah” (Riwayat Muslim).

Ini menafikan ketuanan kaum tertentu.

8. Sesuatu bangsa jika mahu dipandang mulia, hendaklah membuktikan kemuliaan itu dalam realiti kehidupan mereka. Melayu, atau selain melayu boleh menjadi mulia dengan usaha ke arah kemuliaan, bukan sekadar bergantung kepada keturunan atau atas nama bangsa semata.


Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

khabar dari malaysia....


ada 1 cerita ni..tak tau betul, tepat atau salah..
..tapi ada kemungkinan betul...dan ada kemungkinan salah...

kawan saya kata...
kat Jerantut..pahang..dia balik malaysia baru2 nie...
dia mula bercerita..

"kat jerantut, orang melayu tak boleh niaga la"..
"sebab cina kat sana kuat"
" ada kedai melayu buka kat sana, tapi tak boleh tahan lama..huhuhu lingkup"
"orang cina nie, dia turun harga kat kedai/pasraya dia, dia tak untung dalam 3 bulan pun tak apa, tapi lepas 3 bulan kedai melayu tu tutup..."
tak ada org datang...

"konon nya mydin nak buka kat sana..tapi tak dapat..."
"pesatuan dia tak bagi kot"....

"ada orang melayu meniaga, tapi sikit dan tak cukup"
huhuhuhu

"orang melayu pun satu hal..tak nak tolong sama bangsa dia...sama akidah dia..nak murah je..ye la mungkin mula2 mahal skit, jauh skit...susah skit...tapi bila dah stabil bangsa n agama juga naik.."

"perkara nie mungkin nampak kecik... tapi ia merupakan jihad ekonomi bagi umat Islam...bangsa2 yang kuat seperti yahudi pun guna strategi macam nie...org yahudi kalau nk beli barang yang simple dan kecik pun, kalu ada kedai bangsa dia yang jauh skit, takpa... dia pergi..walaupun mahal skit...tapi sekarang kita tengok kat dunia antarabangsa...sapa tak kenal Tesco..dan lain2 ....bersepah2...

ni bukan asabiah yang dilarang agama, bahkan ia merupakan tuntutan agama...

dalam satu hadith qabilah 'asya'ariyyin dipuji oleh Rasullah saw..Nabi kata "aku bersama mereka dan mereka bersama aku"..puak ini apabila mereka terputus bekalan makanan, mereka kumpulkan semua makanan dari semua kaum mereka, lalu dihimpunkan dan diagihkan sama rata...maka Nabi puji sikap tolong-menolong mereka ini...

tapi ni tak bermaksud kita tak boleh beli barang org cina atau bangsa lain, mana mungkin dan tak logik... cuma dalam priority kita utamakan bangsa dan yang seagama kita... kalau tak ada, apa boleh buat...tapi kalu ada kita mesti membantu...

setiap pembelian kita adalah amal ibadat yang akan memberatkan timbangan kita....dan semoga dosa2 kita terhapus atas amal soleh yg dilakukan.....

Sunday, December 5, 2010

Dipergunakan atau langsung tidak berguna



Minggu lalu laman web Malaysianinsider menyerang saya melalui tajuk berita “Chinese MPs slam Ridhuan Tee’s publicity stunt”. Wartawan web ini meminta pendapat ahli-ahli parlimen ultra kiasu DAP, tidak ketinggalan Ketua Pemuda MCA. Saya dituduh menggunakan identiti Cina untuk menyerang saudara sebangsa saya. Jahat sekali tuduhan biadab ini. Namun, saya tidak hairan dengan tuduhan emosi wanita andartu yang masih belum ‘berkahwin’ itu dan juga sekutunya.

Mereka mungkin mendapat maklumat melalui pelajar-pelajar yang mengikuti Seminar Pemimpin Muda di parlimen baru-baru ini. Dalam forum tersebut, saya mengatakan segelintir golongan ultra kiasu akan menjadi penghalang kepada program tranformasi kerajaan, jika mereka dibiarkan berleluasa. Hujah saya, golongan ini tidak pernah puas dan sentiasa mempertikaikan perkara-perkara sensitif, seperti perkara 3(1), 152, 153 dan sebagainya. Semua yang dilakukan oleh kerajaan salah. Mereka sahaja yang betul. Mereka yang saya maksudkan adalah DAP.

Mereka menuduh saya dipergunakan. Kadang kala, fikir punya fikir, elok juga dipergunakan, sekurang-kurangnya kita dapat merasakan diri kita berguna. Daripada tidak dipergunakan, menunjukkan diri kita langsung tidak berguna. Mungkin ahli parlimen tersebut merasai sedemikian. Apapun, saya tidak begitu bodoh untuk dipergunakan oleh orang Melayu, apatah lagi UMNO.

Saya boleh menyertai UMNO jika saya mahu, sebab saya adalah Melayu dari segi perlembagaan, perkara 160 (2), tetapi saya tetap Cina dari segi penciptaan oleh Allah Yang Maha Kuasa. Saya lebih memilih memberikan pandangan akademik daripada berpolitik. Saya menjunjung surah al Hujurat ayat 13 mengenai kejadian berbilang bangsa oleh Allah untuk kita saling mengenali antara satu sama lain. Yang paling mulia di kalangan kita adalah orang yang bertakwa, bukan bangsa atau keturunannya. Allah tidak akan tanya kita di akhirat nanti, apa bangsa kita. Tetapi yang akan ditanya, siapa Tuhan kamu, siapa Nabi kamu dan apa agama kamu. Persoalan bangsa sudah tidak wujud apabila berhadapan dengan Rabbul Jalil.

Mesej saya jelas, hanya menyeru orang Melayu Islam bersatu, sebagaimana bangsa saya bersatu atas nama bangsa. Saya tidak menyeru Melayu bersatu atas nama Melayu. Bodohlah saya, kerana saya adalah orang Cina. Tetapi saya menyeru bersatu atas nama Islam kerana Melayu beragama Islam. Apabila Islam berada di atas, semua boleh duduk sekali, tidak kira Melayu, Cina, India mahupun bumiputera Sabah dan Sarawak atau mungkin juga makhluk lain. Kerana semuanya diciptakan Allah SWT. Saya tidak mahu umat Islam berpecah-pecah sehingga ultra kiasu atau DAP menangguk ikan di air yang keruh atau menahan lukah di pergentingan.

Saya cuma mengajak kita supaya bersyukur dan menegur pihak-pihak tertentu dengan berhikmah, bukannya cara kurang ajar seperti yang dilakukan oleh laman web dan ahli parlimen tersebut. Mereka sahaja boleh memberikan pandangan, manakala saya tidak boleh. Apa lebihnya ahli parlimen tersebut dan apa kurangnya saya? Saya bercakap berasaskan fakta, mereka bercakap berasaskan khabar angin yang dilaporkan oleh tali barutnya di IPTA. Apa yang dilaporkan belum tentu benar kerana datang dari mulut orang lain. Bila saya merujuk DAP sebagai ultra kiasu, maka mereka mengatakan saya merujuk kepada semua orang Cina. Kenapa perlu menanamkan kebencian ini?

Tidak perlulah ajar saya tentang perkara 8 perlembagaan persekutuan. Saya memang mengajar subjek Politik Malaysia dan Hubungan Etnik di universiti. Maaf cakap, saya lebih memahami sejarah Tanah Melayu berbanding ahli parlimen tersebut. Dengan kefahaman inilah saya menjadikan kurang kiasu. Cuma, saya harap ahli parlimen tersebut membuat kajian sama, jangan asyik-asyik dengan Perkara 8 setelah tidak dapat berhujah. Adakah ahli parlimen tersebut pernah membuat kajian perkara-perkara utama yang mendasari perlembagaan? Atau hanya mendengar sumber berita dari orang lain. Selepas itu mengambil peluang untuk menghentam orang sana sini. Mengkritik boleh, tetapi perlulah beradab.

Jika tidak tahu adab, belajar dan bergaullah dengan orang Melayu dengan lebih lama. Kenali hati budi mereka. Orang Melayu, bangsa yang saya kenali amat lembut dan beradab sopan. Namun, jangan ambil kesempatan atas ‘kelemahan’ tersebut. Nilai-nilai Islam telah menyantuni mereka. Itulah yang menjadi mereka dapat memberi dan menerima, sehingga terlalu banyak memberi, sedikit sahaja yang diterima, tetapi mereka tetap menerima. Ditakdirkan Melayu masih tidak Islam sehingga ke hari ini, bagaimanakah kedudukan kita hari ini?

Kenapa kita perlu mengungkit perkara sensitif tersebut. Sedangkan kewujudannya tidak sama sekali menggugat kedudukan kita. Apakah dengan adanya perkara 3 (1), 152, 153, dan sebagainya menjadikan kita miskin dan papa kedana? Apakah istilah atau laungan ketuanan Melayu telah melahirkan begitu ramai hamba di kalangan kita? Tidak juga. Ringkasnya, sama ada ketuanan Melayu wujud atau tidak, keadaan tidak banyak berubah. Yang kaya bertambah ramai, yang miskin terus merubah hidup. Tidak ada apa yang menghalang. Jadi, di manakah isu sebenarnya kalau bukan mencari publisiti murahan?

Apa yang saya tekankan adalah jika asimilasi bangsa telah gagal, maka sekurang-kurangnya kita perlu ‘mengasimilasikan’ dasar-dasar kerajaan dan perlembagaan yang telah dipersetujui bersama. Kenapa setelah 53 tahun merdeka perkara-perkara asas ini tidak diambil pusing, malah semakin ultra? Masih ada di kalangan kita, malah ramai, yang tidak boleh/tahu berbahasa kebangsaan. Mereka berhujah bahasa kebangsaan bukan ukuran patriotisme. Persoalan saya, jika perkara sebesar ini, yang menentukan hidup atau matinya identiti sesebuah negara, pun kita tidak mahu ambil kisah, bagaimana dengan perkara besar yang lain. Kenapa kita begitu elergik dengan identiti Melayu yang telah diterima dan sepatutnya menjadi tunggak negara ini? Tidakkah wajar mereka mendapat pengiktirafan di buminya sendiri? Kenapa perlu memandang rendah terhadap mereka dan identitinya? Tidakkah kita perlu lebih memahami mereka daripada orang lain yang di luar sana?

Bayangkan jika dahulu, ketika penghijrahan berlaku, orang Melayu menggunakan kekerasan, memaksa kita mengasimilasikan diri kita menjadi Melayu, sudah tentu hari ini kita sudah menjadi minoriti di Thailand, Indonesia dan Filipina, yang langsung tidak mempunyai identiti bangsa sendiri melainkan telah diserapkan ke dalam identiti majoriti. Berlainan sekali dengan negara tercinta ini. Kita tidak ada beza langsung dengan negara asal kita dalam apa jua aspek sekalipun, melainkan berlainan negara dan perlembagaan sahaja. Inilah ‘asimilasi’ perlembagaan yang saya cadangkan tetapi sengaja disalahfahamkan.

Malangnya, kita bukan sahaja menolak ‘asimilasi’ tersebut, malah secara sengaja membangkitkan isu-isu sensitif, malah terus menuntut supaya sekolah, universiti, bandar, akhbar, televisyen, radio, nama jalan, nama lebuhraya dan lain-lain lagi berasaskan identiti bangsa supaya diperbanyakkan. Sekiranya dibenarkan, sudah tentu ia akan menenggelamkan identiti penduduk pribumi. Tindakan sebegini akan mengundang perasaaan tidak puas hati.

Hari inipun kita sudah lihat hasilnya, kita tidak langsung berbahasa kebangsaan sesama kita, apatah lagi di rumah. Pendek kata, kadangkala satu patah perkataan bahasa Melayupun tidak dipertuturkan. Mungkin berminggu-minggu, berbulan-bulan malah bertahun-tahun. Kita seolah-olah hidup tanpa berperlembagaan. Patriotikkah kita jika perkara asas langsung tidak dipedulikan? Itu belum bercakap perkara-perkara yang lain. Tidakkah kita bersimpatilah dengan identiti bumiputera Sabah dan Sarawak selaku pribumi yang identiti bangsanya tidak begitu menonjol berbanding kita. Cuba bandingkan penguasaan bahasa kebangsaan mereka dengan kita!

Apa yang saya lihat pada hari ini, orang Melayu hanya boleh berbangga dengan peruntukan perlembagaan pada teorinya sahaja. Realiti dan perlaksanaannya, tidak banyak kelihatan atau lebih kepada ilusi. Mereka hidup serba sederhana, bukan tidak ada yang kaya, tetapi lebih sibuk untuk mengahwini artis. Pendek kata, di tanah Melayu, identiti Melayu tidak mendominasi. Tidak ada sekolah Melayu atau universiti Melayu. Jika adapun contoh yang selalu dihujahkan ultra kiasu adalah UiTM dan sekolah agama. Itupun tidak banyak membantu, kerana graduan ini mungkin hanya popular dalam sektor kerajaan tetapi tidak sektor swasta. Sektor swasta yang dikuasai bukan Melayu, mereka lebih berminat dengan graduan-graduan universiti tertentu sahaja.

Apapun berlaku, bukan Melayu tidak rugi kerana mereka sudah pergi jauh meninggalkan orang Melayu, terutama dalam aspek ekonomi dan penguasaan kekayaan. Inilah faktor utama yang menyebabkan orang boleh menguasai dunia. Yang rugi orang Melayu, sudahlah ketinggalan serba serbi, asyik bergaduh dan berpecah tidak habis-habis. Mungkinkah sehingga kucing bertanduk?

Saya yakin, apabila artikel ini disiarkan, saya akan dituduhkan merosak program kerajaan seperti gagasan 1Malaysia dan program tranformasi. Kenapa kita katakan bahawa kewujudan puak ultra kiasu DAP ini juga menimbulkan masalah program kerajaan kerana selalu menimbulkan rasa tidak puas yang boleh menggugat ketenteraman? Orang Cina tidak perlu risau dengan setiap penulisan saya dalam Mingguan Malaysia. Saya tidak bahaya, apatah lagi membahayakan bangsa saya sendiri. Jika ada orang Cina yang dianiayai oleh bangsa lain, saya akan tampil membela.

Selama inipun, saya sanggup turun naik ke pejabat kerajaan membantu bangsa saya yang tidak bernasib baik. Saya tidak pernah ceritakan semua ini kerana dalam Islam, saya diajar supaya tidak ungkit kebaikan yang kita lakukan, nanti tidak dapat pahala. Tidak seperti ultra kiasu ini, setiap kebaikan yang dibuat, dicanangkan dan dipublisiti agar orang lain nampak dia buat kerja, sedangkan kerjanya tidak seberapa. Orang lain buat kerja juga, malah hasilnya besar, tetapi mengenangkan perintah agama supaya jangan riak, maka didiamkan sahaja, walaupun itulah jalan yang paling mudah untuk mendapatkan political mileage. Fahamilah, kerana Islamlah orang Melayu bersifat sedemikian, justeru jangan lah diambil kesempatan. Gauli dan dekati mereka, barulah kita mengenai mereka sebenarnya.

http://ridhuantee.blogspot.com/