Pages

About Me

My photo
nasr city, cairo, Egypt
Aku hamba MU. Anak hamba Mu. Ubun2 ku di tangan-Mu.Telah berlaku hukuman Mu pada ku. Adil keputusan Mu pada ku. al-imam al-qurtubi menulis tafsirnya kerana kata beliau; " كتبت تذكرتا لنفسي" aku menulis sebagai peringatan untuk ku.

Saturday, November 5, 2011

Menghidupkan Sunnah Haji; Di antara kemewahan kemudahan dan kesempurnaan ibadat





Khatib Jumaat Masjidil Haram pada hari 8 Zulhijjah, hari Tarwiyah bersamaan 4 November 2011, memulakan khutbah Jumaat yang ringkas dan padat sekitar 15 minit dengan menyebutkan wasiat firman Allah swt untuk hambanya yang menunaikan haji agar fokus kepada objektif haji iaitu "hendaklah kamu semua sewaktu menunaikan haji merebut bekalan dan sebaik baik bekalan itu ialah taqwa"

Haji menurut Sunnah Nabi saw amat mudah. Bermula dengan jemaah menuju Mina pada waktu duha hari Tarwiyah 8 Zulhijah. Mereka berada di sana selama 5 waktu salat dengan mengqasarkan zohor, asar dan Isyaknya, manakala Maghrib dan Subuhnya dilakukan seperti biasa. Selepas Solat Subuh pagi hari Arafah 9 Zulhijjah, pada waktu Duha jemaah akan beramai ramai menuju Arafah untuk berwukuf. Jemaah akan memulakan wukuf apabila masuk waktu Zohor Hari Arafah. Mereka mendirikan solat Zohor dan Asar secara jamak dan qasar pada waktu zohor. Setelah itu mereka akan memfokuskan doa bermula Zohor sehingga terbenam matahari hari Arafah.

Apabila terbenam matahari 9 Zulhijjah, masuk waktu Maghrib mereka akan bergegas beramai ramai menuju Muzdalifah untuk bermabit di sana. Solat Maghrib dan Isyak akan dilakukan secara jamak dan qasar ta'khir pada waktu Isyak di Muzdalifah. Ibadah Muzdalifah pada malam itu adalah tidur setelah selesai makan malam. Apabila masuk waktu Subuh 10 Zulhijjah, Hari Nahar dan hari Raya Haji, jemaah akan segera mendirikan Solat Subuh. Setelah itu mereka akan berdoa sebanyak banyaknya dengan menghadapkan diri ke Kiblat di sebelah timur sehingga hampir terbit matahari (langit menjadi sangat kuning). Apabila matahari sudah terbit mereka akan segera menuju Mina untuk melontar Jamratul Kubra pada waktu Duha. Selesai melontar hari 10 Zulhijjah, mereka akan menggunting dan mencukur rambut mereka dan seterusnya menyembelihkan binatang korban dan dam mereka.

Bagi yang berkemampuan, mereka akan terus menuju ke Baitullah untuk melakukan tawaf ifadah dan saie haji (bagi yang belum melakukan saie setelah tawaf qudum bagi yang melakukan haji ifrad dan qiran). Bagi yang tidak mampu, mereka akan melewatkan tawaf dan haji berkenaan. Kemudian jemaah akan kembali ke Mina untuk melakukan ibadat Mabit di Mina dan melontar 3 jamrah pada hari hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Semua lontara itu dilakukan setelah masuk waktu zohor dan tergelincir matahari hari berkenaan. Bagi yang mahu melakukan Nafar Awal, mereka akan balik ke Mekah pada hari 12, manakala yang melakukan Nafar Thani akan melewatkan hingga hari ke 13 dan itu yang afdal. Selesai semuanya ini, sebelum keluar meninggalkan Mekah, jemaah akan melakukan tawaf wadak.

Mengenang semua penjelasan mudah ini, didapati haji menurut Sunnah Nabi saw adalah amat mudah. Semuanya adalah perjalanan yang mudah, tanpa dibebankan dengan pelbagai bacaan dan doa yang direka. Semuanya adalah perlambangan ketaatan dalam perlakuan dan tindakan. Semua perlakuan dibuat kerana ia adalah perintah Rasul saw. Ambillah ibadat haji kamu semua daripada aku, demikian mafhum sabdaan baginda saw.

Namun, mutakhir ini, umat dibebankan dengan pelbagai beban yang bukan daripada agama. Di samping pelbagai pesan dan petua yang bukan datang daripada Rasul, keperluan dunia yang melampau turut mengganggu kesempurnaan ibadat. Sepatutnya fokus jemaah haji adalah kesempurnaan ibadat haji, bukannya kesempurnaan kemudahan untuk jemaah haji. Jemaah sepatutnya komplen bila ibadah tidak sempurna menurut Sunnah Nabi saw, bukannya mengadu kerana kemudahan yang tidak sempurna. Juga sepatutnya jemaah haji komplen mengapa sekian banyak Sunnah Nabi saw dalam ibadat haji tidak dianjurkan untuk mereka melakukannya, bahkan mereka dibebankan lagi dengan pelbagai pandangan mazhab yang mengikat dan petua individu yang menyusahkan orang. Pelbagai alasan mazhab dan pentadbiran akan dikemukakan jika ada suara mengajak untuk kembali mengikuti sunnah Nabi saw dalam amalan.

Bukanlah soal sah atau tidak perlakuan ibadat yang ada, tetapi soalan utama ialah kenapa ibadat haji itu tidak dilakukan dengan sesempurna mungkin dengan menepati setepat mungkin kehendak Sunnah Nabi saw? Bukankah Nabi saw dah sebut; ambillah ibadat haji kamua daripada aku? Juga bukankah Allah swt sudah berfirman, sempurnakanlah haji dan umrah kamu untuk Allah? Maka yang pasti, yang ikut jejak Rasul yang paling sempurna, bukannya yang kemudahannya sempurna ataupun jemaah hajinya yang berasa selesa.
أ

No comments:

Post a Comment