Pages

About Me

My photo
nasr city, cairo, Egypt
Aku hamba MU. Anak hamba Mu. Ubun2 ku di tangan-Mu.Telah berlaku hukuman Mu pada ku. Adil keputusan Mu pada ku. al-imam al-qurtubi menulis tafsirnya kerana kata beliau; " كتبت تذكرتا لنفسي" aku menulis sebagai peringatan untuk ku.

Thursday, March 29, 2012

JENAYAH CURI DALAM FIQH ISLAM

Islam datang dengan beberapa tujuan. Selain menjaga nyawa dan maruah, Islam juga datang untuk memelihara harta. Atas dasar ini, Islam telah menetapkan hukuman terhadap sesiapa sahaja yang menceroboh harta orang lain (Fiqh Manhaji). Islam datang dengan lima maksud yang utama, al-Muwafaqat Fi Usul al-Syari’ah tulisan al-Imam Abu Ishaq al-Syathibi (790H) yang terkenal membahaskan secara terperinci tentang lima maksud syariah Islam iaitu; menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta, malah di antara para sarjana fiqh ada yang menambah menjaga kehormatan juga sebagai salah satu daripada maqasid syara’.

Mencuri السرقة

Dari sudut bahasa bermaksud mengambil sesuatu secara sulit atau sembunyi. Menurut istilah mengambil harta orang lain secara sulit tanpa sebarang hak dari tempat simpanan dengan syarat-syarat tertentu. ( أخذ المال خفية ظلما من حزر مثله بلا شبهة)

Huraian takrif

(أخذ) mengambil: sesiapa yang diberi oleh tuan harta tidak dikira sebagai mencuri.

(المال )harta: terkeluar darinya apa yang tidak dikira harta dan tidak bernilai, jika si fulan mengambil dari si fulan anjing, khinzir, atau arau umpamanya, maka tidak di potong kerana barang yang diambil bukanlah di kira sebagai harta.

(خفية) secara sulit: frasa ini menunjukkan bahawa merampas tidak termasuk dalam istilah ini, kerana perampas merampas sesuatu harta tanpa berselindung atau secara terang. Oleh itu, rampasan tidak termasuk dalam istilah mencuri dan tidak di katagorikan dalam hukuman curi.

(ظلما) tanpa sebarang hak: terkeluar dari takrif diambil atas hutang seseorang.

(بلا شبهة) dimaksudkan darinya ialah apa yang tiada keraguan padanya, contoh seorang isteri mengambil duit suaminya.

Hukum mencuri

Mencuri hukumnya haram dan ia di kira sebagai salah satu dosa besar kerana menzalimi keatas harta orang lain tanpa hak, ia haram menurut al-Kitab, al-Sunnah dan al-Ijma’

Dalil al-Kitab:

وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُواْ بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُواْ فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).Al-baqarah 188

أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu,.Al-nisa’ 29

Dua ayat yang mulia ini jelas melarang dari memakan harta manusia secara batil dan diantara bentuk makan secara batil ialah mencuri, larangan di sini membawa maksud haram, maka dua ayat ini merupakan dalil pengharaman mencuri.

Dalil al-Sunnah:

لعن الله السارق يسرق البيضة فتقطع يده, ويسرق الحبل فتقطع يده

(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam shahihnya, kitab al-hudud, dan al-Baihaqi dalam al-sunan al-Kubra8/253)

لا يزنى الزانى حين يزني وهو مؤمن ولا يسرق حين يسرق وهو مؤمن

Maksudnya: Tidak berzina seorang itu sedang dia beriman (yakni dalam keadaan sempurna iman), dan tidak mencuri seseorang itu sedangkan ia beriman.(muttafaq ‘alaih dan al-Baihaqi dalam al-Sunnan)

Dua hadith ini menunjukkan bahawa mencuri membawa kepada laknat Allah, dan laknat bermaksud di jauhkan dari rahmat Allah, manakala perbuatan yang dilaknat Allah tidak akan berlaku melainkan ia termasuk di kalangan dosa besar. ( Lajnah Min Asatizah Qism al-Fiqh bi Kulliyyah Syariah wa Qanun bil Qahirah, Jamiah al-Azhar)

Maka mencuri hukumanya adalah di potong alat yang digunakannya untuk mencuri iaitu tangan, adapun sesiapa yang mengambil harta tanpa hak selain dari takrifan mencuri tidak dikenakan hukuman potong, dinyatakan dalam al-Minhaj “Tidak di potong peragut, perompak dan pengkhianat amanah” (Matn Minhaj al-Talibin al-Nawawi 9/144), dan dalilnya daripada manqul (nas) dan ma’qul (lojik akal).

Dalil naql berkenaan peragut, perompak dan pengkhianat amanah tidak di potong tangan berdasarkan riwayat Jabir daripada Nabi saw bahawa baginda saw bersabda: “Orang yang mengkhianat, merampas dan meragut (atau menyeluk saku) tidak akan dipotong tangannya”. (Riwayat al-Tirmizi didalam sunannya dan beliau berkata: hadith ini hasan shahih, dishahihkan oleh al-Albani didalam Irwa’ ak-Ghalil 8/62, dan dishahihkan juga oleh Ibn Hajar dalam al-Talkhish 4/65)

Dan adapun dari ma’qul: Orang yang mengkhianat tidak di potong kerana dia diberi amanah untuk menjaga harta tersebut dan tempat simpanan bukanlah dari tempat simpanannya, dan orang yang merampas pula ia melakukannya dalam keadaan jelas, sedangkan mencuri dilakukan secara sembunyi dan tertutup oleh pandangan mata dan pendengaran (tidak sedar), meragut pula, walupun ia secara bahasanya sama dengan mencuri, namun ia dilakukan secara terang dan bukan secara sembunyi, dan ini semua berbeza dengan mencuri kerana ianya lebih mudah untuk dicegah dan dihalang.

Hukuman terhadap orang yang merampas dan meragut tidak dipotong tangan adalah sepakat, kecuali berlaku khilaf pada hukum orang yang mengkhianat, di antara fuqaha’ ada berpendapat tidak dipotong berdalilkan hadith tadi, dan yang lain berpendapat dipotong orang yang mengkhianat berdasarkan sebuah riwayat bahawa seorang wanita telah meminjam barang lalu ia khianatinya, maka Nabi saw memerintahkannya dipotong tangannya, ( Ihkam al-Ahkam, Ibn Daqiq al-‘eid, Musnad Ahmad dan al-Nasaie). Maka riwayat ini menunjukkan di potong tangan siapa yang mengingkari amanah dan tidak mengembalikan kepada tuannya, firman Allah Taala :

إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), (Al-nisa’58)

Maka Nabi saw menghukum tangannya di potong.

Namun pendapat yang tepat ialah pandangan yang menyatakan tidak di potong tangan si pengkhianat, pandangan yang bersumberkan hadith wanita itu tidak tepat, kerana perempuan itu di anggap pencuri bukan semata sebagai pemecah amanah. Diriwayatkan dari ‘aishah r.a bahawa suatu ketika Quraisy merasa bimbang tentang nasib seorang perempuan Bani Makhzumiah yang di sabitkan mencuri, mereka berkata: “siapakah yang akan berbincang mengenainya dengan Rasullah saw? Mereka berkata: “Tiada siapa yang berani melakukannya melainkan Usamah Ibn Zaid, orang yang disayangi Rasullah saw” lalu Usamah pun berbincang…… (riwayat Muslim dalam Shahihnya dan al-Baihaqi).

Dan diriwayatkan dari al-Baihaqi bahawa Marwan ibn al-Hakam datang dengan membawa seorang yang telah ditangkap meragut barang, maka dia menghendaki hukuman potong terhadap pesalah, lalu dia utuskan Zaid ibn Thabit r.a kemudian ditanya tentang kes itu. Berkata Zaid: “Orang yang meragut tidak di potong” (al-Sunan al-Kubra 8/280) dan ini membuktikan bahawa perempuan yang di potong tangan itu adalah pencuri, namun adapun riwayat dipotong tangan orang yang pecah amanah ia adalah riwayat Abi Shalih daripada al-Laith, Khalifah ibn Wahab dan ibn al-Mubarak, dan riwayat mereka berdua lebih baik kesahihannya daripada riwayat Abi Shalih (al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi 8/281).

Walau bagaimana pun riwayat dipotong tangan orang yang pecah amanah seperti dalam riwayat wanita tadi membawa kesimpulan bahawa wanita itu melakukan kedua-dua kesalahan sekaligus iaitu pecah amanah dan mencuri, berkata al-Syafi’ie dalam menafikan di potong tangan orang yang pecah amanah: “Dan yang demikian siapa yang meminjam sesuatu barang lalu ia khianatinya atau pada dia ada barang amanah lalu ia gelapkan tidaklak mereka di potong” (al-Umm 6/139) dan berkata ibn Hajar al-Haitami: “ adapun hadith perempuan yang di potong tangan akibat mengambil barang yang dipinjam padanya bukanlah hanya pecah amanah tetapi dia diketahui mencuri sebagaimana yang telah di terangkan oleh para rawi” ( Tuhfah al-Muhtaj bisyarh al-Minhaj 9/144)

Apabila tidak dipotong selainnya (mencuri) pada pendapat yang rajih (paling tepat) dan yang demikian itu adalah pandangan dalam fiqh Syafi’e, mungkin ‘illah (sebab) tidak dipotong itu adalah kerana mereka mengambil dalam keadaan terang.

Telah berlaku ijma’ (kesepakatan) bahawa individu yang telah sabit kesalahan mencuri maka hukuman undang-undang yang akan dikenakan keatasnya ialah dipotong alat yang digunakan untuk mencuri iaitu tangan, berdalilkan al-Quran dan al-Sunnah.

Firman Allah Taala:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُواْ أَيْدِيَهُمَا جَزَاء بِمَا كَسَبَا نَكَالاً مِّنَ اللّهِ وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Maidah:38)

Ayat ini merupakan dalil yang putus (dalil qat’ie) bahawa pencuri di potong tangannya, didahulukan pencuri lelaki sebelum wanita berbeza halnya dengan ayat berkenaan hukuman zina, yang mana wanita didahulukan daripada penzina lelaki, dan rahsia perbezaan ini adalah dalam kes curi golongan lelaki lebih banyak melakukan jenayah ini, dan ini merupakan kebiasaannya, manakala dalam kes zina dinisbahkan kepada wanita kerana kebiasaannya zina tidak akan berlaku jika sekiranya mereka jinak. (Fath al-Bari: ibn Hajar 12/97,98)

Dalil sunnah:

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a : sabda Nabi saw :

لعن الله السارق يسرق البيضة فتقطع يده, ويسرق الحبل فتقطع يده

(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam shahihnya, kitab al-hudud, dan Muslim )

Berkata ‘Aishah r.a : “Rasulallah saw memotong tangan pencuri yang mencuri suku dinar dan keatas” (muttafaq ‘alaih; Bukhari dalam sahihnya kitab hudud12/96, muslim dalam sahihnya kitab hudud, bab had surqah11/180)

Daripada Ibn Syihab, daripada ‘Urwah, daripada ‘Aishah r.a daripada Rasulallah saw bersabda: “Tidak dipotong tangan pencuri melainkan suku dinar dan keatas” (muttafaq ‘alaih).

Hadith kedua merupakan sunnah amaliah (praktikal) dari Nabi saw bahawa dipotong tangan pencuri.

Manakala hadith ketiga merupakan bukti dari ucapan Nabi saw (sunnah qauliyyah).

Dan juga telah berlaku ijma’ bahawa tangan kanan yang akan dipotong, jika ada, sekalipun ia tangan yang lumpuh, ini mungkin bersumberkan qiraat (bacaan) Ibn Mas’ud: وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُواْ أَيْمامنهُمَ (Baihaqi: sunan kubra, 8/270 daripada Ibn Najih dari Mujahid), namun qiraat ini lemah kerana sanannya terputus, seperti mana yang ditegaskan Ibn Hajar, tetapi riwayat ini dikuatkan dengan athar daripada sahabat bahawa dipotong tangan kanan, daripada Abdullah ibn Dalamah dari ‘Ali berkata: “Apabila mencuri seorang pencuri, dipotong tangannya yang kanan, kemudian jika dia ulangi lagi, kaki kirinya” (sunan al-Darimi 3/103).

Berkata al-Syafi’ie r.h: “Apabila mencuri seorang pencuri kali pertama, dipotong tangannya yang kanan, dari sendi pergelangan tangannya” (al-Umm 6/138)

Berkata al-Syirazi: “Jika ditetapkan untuk dipotong, potong tangan kanan”(al-Muhazzab).

No comments:

Post a Comment